PENGENALAN
- Merupakan Surah ke 112
- Termasuk di antara surah-surah pendek dalam al-Quran
- Surah ini sering dibaca dan diulang-ulang. Boleh dikatakan surah ini sudah menjadi bacaan harian setiap Muslim, baik ketika solat ataupun saat mereka berzikir.
- Rasulullah s.a.w. tidak pernah lupa daripada membaca surah yang mulia ini setiap hari.
- Surah ini mengandungi makna dan pengajaran yang penting serta mendalam.
- Surah ini pendek dari segi susunan ayat dan jumlah ayat. Namun memiliki kedudukan yang tinggi jika dibandingkan dengan surah-surah lain. Bahkan kedudukannya sama dengan sepertiga al-Quran.
JOM KITA PELAJARI
- Al-Ikhlas bererti "kesucian" atau "bersih", yang berfungsi membersihkan jiwa seseorang daripada kepercayaan kepada kebendaan.
- Surah al-Ikhlas juga dinamakan dengan surah at-Tawhid.
- Surah ini merupakan pernyataan ringkas tauhid, keesaan mutlak Allah, yang terdiri daripada empat ayat.
- Surah al-Ikhlas adalah satu-satunya surah dalam al-Quran yang namanya tidak ada atau tidak mempunyai hubungan bahasa (linguistik) kepada surah itu sendiri.
ASBABUN NUZUL ~ SEBAB TURUNNYA SURAH INI
- Adik-adik, sebab turunnya surah ini adalah, ketika orang Musyrik atau orang Yahudi berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Beritakan kepada kami sifat Rabb-Mu." Kemudian Allah s.w.t. menurunkan surah ini seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tirmidzi.
KELEBIHAN SURAH AL-IKHLAS
- Menyamai sepertiga Al-Quran.
- Diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a. beliau berkata: " Ada seorang sahabat Rasul s.a.w. mendengar jirannya membaca berulang-ulang."Kemudian pada pagi harinya dia menemui Nabi s.a.w. dan menceritakan tentang perbuatan jirannya. Seakan-akan dia menganggap kedudukan surah ini ringan dan tidak penting. Maka Nabi s.a.w. bersabda: "Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya. Sesungguhnya surah al-Ikhlas benar-benar menyamai sepertiga al-Quran." (Riwayat Bukhari)
- Para ulama' menjelaskan sebab surah al-Ikhlas ini menyamai sepertiga al-Quran kerana di dalam al-Quran mengandungi tiga pokok yang paling mendasar iaitu:
a) Tauhid
b) Kisah-kisah rasul dan ummatnya
c) Hukum-hukum syariat
- Sedangkan surah al-Ikhlas ini, mengandungi kaedah-kaedah ilmu tauhid. Atas dasar inilah surah al-Ikhlas menyamai sepertiga al-Quran.
2. Mendapatkan kecintaan Allah s.w.t.
- Daripada Syaidatina Aisyah r,a. : "Nabi s.a.w. pernah mengutuskan sahabat dalam sebuah pertempuran. Lalu dia mengimami solat dan selalu membaca surah al-Ikhlas. Tatkala mereka kembali dari pertempuran, mereka adukan hal tersebut kepada Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda: "Tanyakan kepadanya apa yang melatarbelakangi dia berbuat seperti itu?" Mereka pun menanyakannya. Lalu Baginda pun menjawab: "Sesungguhnya surah al-Ikhlas mengandungi sifat yang dimiliki oleh ar-Rahman (Allah) dan aku suka untuk membacanya." Maka Nabi s.a.w. bersabda: "Khabarkan kepadanya bahawa Allah swt mencintainya." (riwayat Bukhari)
3. Mendapatkan ganjaran Jannah
- Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: "Aku pernah bersama Nabi s.a.w. dan saat itu beliau mendengar seseorang membaca:( قل هوالله أحد ) Lalu Baginda bersabda: "Dia telah mendapatkan". Abu Hurairah bertanya: "Mendapatkan apa wahai Rasulullah?" Beliau menjawab: "Al-Jannah (syurga)." ~ Riwayat Tirmizi.
- Dalam hadis yang lain Baginda s.a.w. bersabda: "Kecintaanmu kepada surah al-Ikhlas memasukkanmu ke dalam al-Jannah." ~ Riwayat Bukhari
- Daripada Buraidah bin Khusaib r.a.: "Aku pernah masuk masjid bersama Nabi, tiba-tiba ada seorang sahabat solat dan membaca di dalam doanya:
اللهم اني أسألك بأني أشهد أن لا اله الا أنت الأحد الصمد الذي لم يلد ولم يكن له كفوا أحد
- Lalu Baginda bersabda: "Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya. Sesungguhnya dia meminta dengan nama-Nya yang mulia. Jika dia meminta dengan nama tersebut, Allah akan memberinya dan jika dia berdoa dengannya, diterima." ~ Riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah
Sumber:
Majalah Asuh : Bil 178
Mei 2012 / m.s : 13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan