Members

Ahad, 16 Jun 2013

BALASAN GEMAR BERSELAWAT

By  :  Cg Cayrol Azwa


Seorang pemuda bercerita kepada Sufyan al-Thauri tentang pengalamannya yang sangat luar biasa.  Kisah hebat itu berlaku kepada ayahnya yang baru meninggal dunia.  Sufyan al-Thauri, seorang wali Allah dan ulama sufi tersohor mendengar dengan tenang dan penuh perhatian.  

Menurut pemuda itu, dia bersama ayahnya sedang dalam perjalanan ke Makkah untuk mengerjakan haji.  Namun takdir Allah, ayahnya tidak sempat sampai ke Makkah.  Dia meninggal dunia dalam perjalanan itu.  Pemuda itu berasa amat sedih.

Tidak lama kemudian, wajah ayahnya tiba-tiba bertukar menjadi hitam.  Pemuda itu sungguh terkejut.  Dia tidak tahu mengapa jadi begitu.  Dia juga tidak tahu apa yang dia perlu buat.  Akhirnya pemuda itu menutup mayat ayahnya dengan sehelai kain sambil menangis teresak-esak.

"Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan.  Saya berada di tempat yang tidak ada orang.  Saya duduk menunggu di sisi mayat ayah saya kalau-kalau ada orang yang lalu,"  kata pemuda itu, meneruskan ceritanya kepada Sufyan al-Thauri.

Pemuda itu berkata lagi, "Lama menunggu di situ, akhirnya saya tertidur.  Saya bermimpi didatangi seorang lelaki yang sungguh tampan dan kelihatan gagah.  Wajahnya bersinar terang.  Pakaiannya bersih dan berbau harum.


Hitam Bertukar Cerah

"Saya berbual-bual dengan lelaki itu.  Dia bertanyakan masalah saya lalu diberitahu tentang ayah saya yang telah meninggal dunia.  Namun yang membuatkan saya sangat sedih adalah keadaan wajah ayah saya yang telah berubah daripada rupa yang elok bertukar menjadi hitam."

Menurut pemuda itu lagi, lelaki yang tidak dikenali itu telah menyingkap kain yang menutup mayat ayahnya.  Kemudian dia mengusap muka mayat dengan tangannya. Dengan tidak semena-mena, wajah yang hitam beransur-ansur bertukar menjadi cerah dan bersih.  Bahkan lebih cerah daripada asalnya.

Pemuda itu terpegun.  Bagaimana begitu mudah wajah yang hitam bertukar menjadi cerah kembali?  Selepas lelaki itu beredar pergi, pemuda itu masih tercengang-cengang.  Semuanya adalah dengan kehendak Allah SWT, tanda keagungan dan kebesaran-Nya.


Tabiat ayah

" Saya diberitahu, ayah saya beroleh rahmat yang begitu besar daripada Allah SWT adalah kesan keberkatan daripada satu amalan yang menjadi kesukaannya.  Sewaktu hidupnya, ayah saya sangat-sangat rajin berselawat kepada Rasulullah SAW,"  pemuda itu terus bercerita.

" Sebaik-baik sahaja terjaga daripada tidur, saya terus menyelak  kain yang menutup mayat ayah saya.  Memang benar.  Wajahnya tidak lagi berwarna hitam.  Wajah ayah saya cerah berseri.  Saya berasa sungguh gembira dan terharu.  Alangkah besarnya kelebihan berselawat kepada Rasulullah SAW,"  kata pemuda itu lagi, mengakhiri ceritanya kepada Sufyan al-Thauri.

Sejak itu, dia berazam akan mencontohi tabiat ayahnya yang sangat gemar berselawat.  Dia tidak akan membiarkan masanya berlalu kosong begitu sahaja, melainkan akan dipenuhi dengan mengucapkan selawat kepada Rasulullah SAW.  Dengan keberkatan selawat, seseorang itu akan beroleh banyak kebaikan yang tidak disangka-sangka.

 ~Wallahu A'lam ~

Dipetik drpd :  Majalah Asuh  (Bil 189. April 2013)
                       m/s 27


Tiada ulasan: